Aktiviti kokurikulum tingkatkan kecemerlangan pelajar — MP Lubok Antu

Jugah memukul gong sebagai simbolik perasmian Majlis Penangguhan Kejohanan Olahraga SMK Lubok Antu.

KUCHING, 8 Feb: MP Lubok Antu, Jugah Muyang, menyeru pihak sekolah dan ibubapa terus memberi sokongan kepada anak-anak untuk bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum.

Berucap di Majlis Penangguhan Kejohanan Olahraga SMK Lubok Antu Tahun 2020 semalam, aktiviti tersebut katanya boleh membantu pelajar
mencapai kecemerlangan.

“Elemen ini sangat penting bagi mengiktiraf kebolehmampuan berfikir
dalam membentuk pelajar yang cemerlang dan bersahsiah mulia,” katanya.


Tambah beliau, kejohanan olahraga sekolah merupakan sebahagian
daripada usaha sekolah dalam memastikan akses pendidikan yang
berkualiti untuk setiap pelajar.

Katanya, ia mampu memberi kesan berganda dalam bidang pembelajaran dan sekaligus melonjakkan pencapaian pelajar-pelajar dalam bidang
pembelajaran.

“Badan sihat dan otak cerdas dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti jasmani yang diadakan di sekolah.

“Elemen ini sangat dititikberatkan dalam bidang pendidikan bagi
melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, intelektual
dan rohani,” tambah beliau.

Jugah percaya pendekatan ini akan melahirkan modal insan yang bersifat holistik.

“Momentum seperti inilah yang kita perlukan agar anak-anak kita sentiasa cerdas dan cergas sama ada di sekolah mahupun di rumah.

“Maka akan lahirlah pelajar minda kelas pertama yang sentiasa kita
harapkan,” ujar beliau.

Pada majlis itu, Jugah turut memperuntukkan RM300,000 untuk membina Dewan Terbuka SMK Lubok Antu dan RM10,000 kepada PIBG SMK Lubok Antu.

Turut hadir timbalan pegawai pendidikan Lubok Antu, Jim Andrew Janggi dan pengetua SMK Lubok Antu Boo Mei Lian. — DayakDaily