Aktiviti ekonomi di Bintulu hanya dari 6 pagi sehingga 8 malam

Open sign. — DayakDaily.com file pic // Image by wendy julianto from Pixabay

KUCHING, 17 Mei: Pengoperasian bagi semua sektor ekonomi termasuk industri di Bahagian Bintulu adalah ditetapkan bermula pada jam 6 pagi hingga jam 8 malam dalam tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok hingga 7 Jun ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kemas kini SOP yang dikeluarkan hari ini berkata, bagi pasar raya, pusat beli belah dan pasar raya persendirian dibenarkan beroperasi dengan jumlah pengunjung tidak melebihi 50 peratus kapasiti premis dengan maksimum 50 orang sahaja.

Kedai komersial seperti kedai runcit, kedai perkakasan, kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dengan jumlah pengunjung tidak melebihi 50 peratus kapasiti premis dengan maksimum lapan orang sahaja serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan.


Menerusi kemas kini SOP itu, restoran, kedai makan, bistro, cafĂ©, dan gerai makanan dan minuman tidak dibenarkan beroperasi secara ‘dine-in’.

Aktiviti pembekalan atau penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja dan waktu beroperasi dibenarkan mulai jam 6 pagi sehingga jam 8 malam.

Dalam pada itu, pasar harian dan pasar borong dan kedai dobi dibenarkan beroperasi mulai jam 6 pagi sehingga jam 8 malam.

Turut dibenarkan beroperasi mulai jam 6 pagi sehingga 8 malam ialah stesen minyak, farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan

Bagi pengoperasian kilang-kilang, kemas kini SOP Tambahan Bahagian Bintulu itu menetapkan hanya 30 peratus pekerja sahaja berada di tempat kerja.

Majikan adalah bertanggungjawab untuk menentukan kitaran kerja bagi mematuhi arahan ini. — DayakDaily