AJK PKR Cabang Saratok umum letak jawatan dan keluar parti

AJK PKR Cabang Saratok mengumunkan perletakan jawatan dan keluar PKR.

KUCHING, 22 Jun: Ahli-ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Saratok hari ini mengumumkan perletakan jawatan dan mengistiharkan keluar daripada parti berkuatkuasa serta merta.

Menurut Ketuanya, Antok Jaya, AJK yang seramai 25 orang telah hilang kepercayaan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Parti seolah–olah tiada hala tuju dan sekadar untuk memenuhi impian peribadi presiden parti untuk menjadi Perdana Menteri sahaja.


“Dengan ini, kami telah mencapai kata sepakat untuk meletakkan jawatan dan mengistiharkan keluar daripada parti berkuatkuasa serta merta,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelas Antok, AJK Cabang Saratok kini sebulat suara memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Adun Krian yang juga MP Saratok Ali Biju yang telah dipecat dari PKR.

Katanya, tiada siapa dapat menafikan bahawa kuatnya parti di Saratok bergantung kepada kekuatan dan kepimpinan Ali sendiri dan bukan nya parti semata mata.

“Kami berasa kecewa kerana parti seolah-olah lebih mementingkan impian peribadi presiden untuk menjawat jawatan Perdana Menteri dan bukannya untuk memperjuangkan Agenda Reformasi seperti yang sentiasa dilaungkan selama ini.

“Adakah Agenda Reformasi ini hanya sekadar membawa erti menobatkan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri semata mata? tanya Antok.

Di samping itu, AJK Cabang Saratok menurut Antok percaya bahawa Ali Biju di atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Menteri sekarang dapat membawa lebih banyak pembangunan di kawasan demi kepentingan rakyat.-DayakDaily