Ajal semasa melintas jalan, pejalan kaki maut dirempuh kereta

Keadaan di lokasi kemalangan melibatkan sebuah kereta yang melanggar seorang pejalan kaki.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 20: Malang menimpa seorang wanita selepas dirempuh sebuah kereta di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.58 malam itu, mangsa, Suhana Yunus, 33, dari Kampung Jaya Bakti disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepalanya.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, berdasarkan maklumat diterima, mangsa dirempuh sebuah kereta Perodua Viva yang dipandu pelajar berusia 21 tahun.

Katanya, semasa kejadian mangsa dikatakan secara tiba-tiba melintas jalan dari sebelah kanan jalan sebelum dilanggar oleh kereta yang sedang bergerak lurus di lorong kiri dari arah Jalan FAC Matang menuju ke Kuching.

Keadaan kereta yang remuk di depan selepas melanggar seorang pejalan kaki.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di kepalanya.

“Wanita yang memandu kereta itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihak polis telah membawa kenderaan terlibat ke balai trafik IPD Padawan bagi tujuan pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily