Ajal di Gunung Mulu, pelancong maut akibat terjatuh

Mayat mangsa dibawa dengan menggunakan helikopter bomba.
Advertisement

MIRI, Mac 27: Malang tidak berbau. Begitulah nasib malang yang ditimpa seorang pelancong dari United Kingdom yang maut selepas dipercayai terjatuh dari Gunung Api-Api Mulu, di sini hari ini.

Mangsa, Nigel Bevan, 50, disahkan meninggal dunia pada pukul 6 pagi selepas dibawa turun ke Camp 5 di gunung tersebut.

Sebelum itu, kira-kira pukul 8.30 malam semasa pasukan penyelamat sampai ke tempat kejadian iaitu kira-kira 2.1 kilometer dari puncak gunung tersebut, mangsa dikatakan masih boleh bercakap dan sedarkan diri.

Advertisement

Namun, ketika dalam perjalanan turun dari gunung kira-kira pukul 2.28 pagi, mangsa dilaporkan sudah tidak sedarkan diri.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang mendaki gunung tersebut seorang diri dikatakan terjatuh pada pukul 11.30 pagi semalam.

Katanya, impak kejadian tersebut telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepalanya.

“Pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota bomba dan Mulu Park telah membawa turun mangsa ke Camp 5.

“Unit helikopter bomba kemudian bertindak membawa mangsa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Law menambah, mayat mangsa selamat tiba di Hospital Miri pada pukul 9.35 pagi.

“Operasi tamat sepenuhnya sejurus mayat mangsa dibawa ke rumah mayat hospital tersebut,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement