Ahli Parlimen Sarawak, Sabah diminta menyokong usul pindaan

Dr Yii (tiga dari kiri) ketika sidang media sempena lawatan Teo (dua dari kiri) ke SJK Bintawa.

KUCHING, April 5: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) meminta lebih ramai Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah menyokong usul pindaan berkaitan mengembalikan status Sarawak dan Sabah seperti ketika pembentukan Malaysia pada 1963 yang sudah mula dibentangkan di Parlimen semalam.

Ini kerana pindaan perlembagaan itu penting bagi membetulkan apa berlaku kepada Sarawak dan Sabah pada 1976 dan mengembalikan status kedua-duanya sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia seperti yang asal ketika pembentukan negara ini pada 1963.

“Jadi saya sekali lagi berharap semua Ahli Parlimen samada dari pembangkang mahupun kerajaan di Sarawak, Sabah dan juga Semenanjung untuk menyokong usul ini,” katanya selepas mengikuti Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Bintawa, di Bintawa, di sini, semalam.


Dr Yii berkata, adalah dijangkakan bacaan kali kedua usul pindaan itu akan berlangsung di Parlimen Selasa depan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini seterusnya membolehkan Ahli Parlimen dari Sarawak, Sabah dan juga Semenanjung untuk berdebat mengenainya dan menyatakan sokongan mereka.

“Saya berharap kita dapat bersama, kerana pindaan ini bukan sahaja membawa kebaikan kepada kita anak Sarawak atau anak Sabah tetapi kepada semua rakyat Malaysia termasuk di Semenanjung kerana kita kembali ke roh asal pembentukan Persekutuan Malaysia seperti dibayangkan oleh pemimpin terdahulu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai usul pindaan terbabit yang dibacakan kali pertama oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong di Parlimen, semalam. — DayakDaily