Ahli CERT digesa memupuk perasaan tanggungjawab dan komitmen tinggi terhadap tugas

Mohamad Chee (empat dari kanan) secara symbolik menyampaikan alatan kecemasan dan keselamatan kepada wakil CERT dari Kabong.

KABONG, Oct 2: Pasukan Bertindak Kecemasan Komuniti (CERT) harus mempunyai perasaan tanggungjawab dan komitmen tinggi sebagai pasukan penyelamat barisan hadapan di peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohamad Chee Kadir berkata meskipun khidmat itu merupakan kerja sukarela namun ia merupakan sumbangan ikhlas pasukan CERT kepada penduduk sebagai anggota penyelamat responden pertama di kawasan masing-masing sekiranya terdapat insiden yang tidak diingini berlaku.

“Dengan adanya pasukan CERT di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong ini akan memberi nafas baharu kepada badan sukarelawan yang sedia ada agar bersama-sama memberi bantuan jika berlaku sesuatu kejadian,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Latihan Dan Pelancaran CERT Kawasan DUN N.40 Kabong bertempat di Dewan Serbaguna Tanjung Kembang dekat sini baru-baru ini.

Mengenai program itu, Mohamad Chee berkata, ia bertujuan memberi kesedaran kepada komuniti tentang jenis insiden kecemasan yang mungkin berlaku di kediaman masyarakat setempat.

“Dengan adanya pasukan CERT ini masyarakat setempat dapat bertindak sebagai responden pertama di tempat kejadian untuk bertindak membantu menstabilkan keadaan apabila berlaku sesuatu bencana sebelum tibanya agensi keselamatan dan bantuan kecemasan profesional.

“Dalam erti kata lain, pasukan ini akan dilatih dan diberi segala pengetahuan yang bersabit dengan bencana serta mengambil inisiatif untuk bertindak dalam memberi bantuan awal di tempat kejadian,” jelasnya.

Pada masa sama beliau berkata penubuhan pasukan itu juga dapat memberi keyakinan kepada penduduk di kawasan tersebut untuk bertindak secara betul dan selamat apabila berlaku kejadian kecemasan atau bencana.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan dan anggota Unit Keselamatan Negeri, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta pihak individu yang terlibat menjayakan program ini,” ujarnya.

Dalam pada itu menurut pihak Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan Negeri Jabatan Ketua Menteri, program CERT telah menerima penyertaan seramai 211 pemimpin masyarakat dan penduduk kampung daripada 35 kampung di Kabong.

Program tersebut telah mendapat tajaan daripada pihak Petronas untuk memupuk kesedaran serta melatih mereka bagi membantu masyarakat setempat ketika berlakunya bencana atau kecemasan.

Melaluinya, peserta telah dilatih untuk memberi bantuan kecemasan asas, asas memadam kebakaran, tip asas keselamatan LPG dan keselamatan perkakasan elektrik sewaktu berlakunya banjir.

Petronas turut menyumbang alat pemadam api, topi keledar, kotak kecemasan, pengusung dan jaket keselamatan kepada 35 kampung di Kabong sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan Negeri Jabatan Ketua Menteri Datuk Clarence Rorote Sagon, wakil Pengurus Besar Petronas Wilayah Sarawak, Violet Tay, wakil Residen Bahagian Betong, Bujang Ladi, Pegawai Daerah Kabong, Kamaludin Alkap dan isteri Mohamad Chee iaitu Meryani Yasin. — DayakDaily