‘Ah Long’ simbah cat merah diberkas polis di Kuching

Ahsmon menunjukkan barang rampasan dalam operasi tersebut.

KUCHING, 23 Jun: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching memberkas tiga lelaki disyaki ‘Ah Long’ yang terlibat menyimbah cat merah ke atas sebuah kereta dan sebuah rumah di Kampung Buntal pada 20 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ashmon Bajah berkata, ketiga-tiga suspek berusia 23,29 dan 32 tahun ditangkap dalam satu serbuan di sebuah premis milik syarikat pinjaman wang berlesen di Jalan Matang pada 22 Jun.

Jelasnya, serbuan adalah ekoran laporan polis yang dibuat mangsa iaitu pemilik rumah berkenaan yang risau akan keselamatan diri serta keluarganya selepas dikatakan dua kali suspek bertindak sedemikian.


Katanya lagi, mangsa turut mengadu bahawa telah menerima nota ugutan jenayah daripada suspek dalam insiden tersebut.

Polis turut merampas dua set komputer yang mengandungi pelbagai dokumen, buku-buku rekod, borang pinjaman wang, dan telefon bimbit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang, seterusnya polis akan menyiasat suspek di bawah Seksyen 507/427 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa.

ACP Ashmon berkata demikian pada sidang media di IPD Kuching, hari ini. — DayakDaily