Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUCHING, 16 Jun: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Dato Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, Seri Paduka Baginda berpandangan demikian agar membolehkan ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, ia setelah Seri Paduka Baginda memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya jalan keluar bagi mengawal penularan wabak tersebut di negara ini,” kata Ahmad Fadil.

Terdahulu hari ini, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Menurut Ahmad Fadil lagi lagi, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai seawal mungkin.

Katanya, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

“Ahli-Ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan begai membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya. — DayakDaily