KUANTAN, 24 Okt: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid
“Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.
“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan Istana Negara.
Seluruh rakyat dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan serata keresahan sehingga boleh menggugatkan ketenteraman negara.
Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima maengadap Muhyiddin di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada 5 petang semalam.
Katanya, sesi tersebut dipohon oleh Perdana Menteri susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang telah dipengerusikan oleh beliau di Putrajaya pada pagi semalam.
“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya,”katanya.
Berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif harian Covid-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi Covid-19.
“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya. -DayakDaily