Agama pupuk perpaduan antara pelbagai kaum

Nanta di Majlis Makai Malam Ngiling Bidai di Gereja Katolik St Herbert Song. Foto kredit: Ukas
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 15 Jun: Perbezaan agama tidak menghalang masyarakat untuk terus bersatu padu, kata Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Nanta berkata, ia diyakini menjadi tunjang kepada perpaduan yang dicapai di Sarawak yang hidup dalam kepelbagaian.

Advertisement

Justeru, Nanta menyeru agar umat Kristian terutamanya di Sarawak untuk sentiasa menjaga perpaduan dan sensitiviti antara satu sama lain.

“Melalui agama juga kita boleh memupuk perpaduan dikalangan umat kristian dan agama lain kerana setiap ajaran agama adalah ke arah kebaikan dan perkara ini amat penting dalam menjaga perpaduaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makai Malam Ngiling Bidai di Gereja Katolik St Herbert Song pada Jumaat (14 Jun).

Melalui agama juga tambah Nanta, ia dapat memimpin rakyat ke arah kehidupan dan pemikiran yang sihat dan lebih positif di mana rakyat memperolehi ketenangan.

Selain itu, beliau menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada gereja dan akan membantu sedaya upaya yang mampu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapit itu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM25,000 termasuk pemberian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan sebanyak RM15,000 kepada Gereja Katolik St Herbert Song. — DayakDaily

Advertisement