AFC tiada halangan untuk MFL teruskan liga pada Sept 2020

Datuk Windsor John

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 8 May: Cadangan Malaysian Football League (MFL) untuk menyambung saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada September ini mendapat sokongan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Dalam kenyataan media AFC, Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John berkata pihaknya tiada halangan terhadap format Liga Malaysia musim 2020 yang dicadangkan oleh MFL saingan Liga-M diteruskan pada September ini.

Walaupun format pertandingan hanya akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan, beliau memahami kekangan dihadapi MFL bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia daripada terus terkubur.

Tambah Windsor, hanya dua kriteria sahaja perlu dipatuhi mana-mana penganjur liga di Asia iaitu pengubahsuaian format itu diterima oleh semua rakan kongsi liga dan akan mengikut Standard Prosedur Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.


“Di pihak AFC, kami tiada masalah menerima format seperti ditetapkan oleh MFL selagi dipersetujui oleh semua pemegang taruh.

“Dalam keadaan seperti ini, pasukan negeri atau kelab perlu sama-sama membantu serta mencari jalan untuk mencapai kata putus terhadap format pertandingan ekoran faktor kesuntukan masa.

“Format yang disyorkan oleh MFL jelas munasabah kerana mereka telah cari jalan terbaik habiskan baki perlawanan liga dalam tempoh yang ada,” katanya dalam kenyataan itu baru-baru ini.

Windsor berkata, pemenang daripada dua pertandingan ini iaitu CIMB Liga Super dan TM Piala Malaysia juga boleh mewakili negara di pentas AFC selagi format pertandingan ini diterima oleh rakan kongsi.

Jelas beliau, dalam format yang telah diubahsuai ini, semua pasukan perlu bertolak ansur terutama dalam soal aksi bermain di tempat sendiri atau lawan dengan mengambil kira situasi yang luar biasa ini.

Pada Jumaat lalu, MFL telah mengumumkan perubahan kalendar Liga Malaysia 2020 dibuat dengan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang telah dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

MFL merancang meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September 2020 dan akan berakhir pada 26-27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 hingga 7 November sementara Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Menyentuh mengenai keperluan mengikut SOP, beliau juga menasihatkan MFL selain mengikut arahan pihak kerajaan, mereka juga boleh belajar daripada beberapa negara yang akan memulakan liga mereka dalam tempoh terdekat.

“Kebenaran mematuhi SOP ditetapkan kerajaan cukup penting buat mana-mana penganjur liga di Asia dan kami sama sekali tidak ada rundingan dalam soal ini.

“Cuma jika Liga Malaysia dapat dijalankan pada September, saya rasa ini kesempatan terbaik untuk MFL jadikan liga-liga lain yang akan bermula lebih awal sebagai contoh pembelajaran untuk dijadikan panduan.

“Sebagai contoh, Liga Korea (K League) yang akan bermula pada 8 Mei ini mungkin boleh menjadi permulaan baik terhadap bagaimana mereka menjalankan liga dalam situasi sebegini.

“Malah, selepas ini saya difahamkan akan ada liga-liga lain akan bermula dan saya rasa mungkin ini satu kesempatan terbaik buat MFL mendapatkan input bagi memastikan Liga Malaysia nanti boleh berjalan lancar,” katanya. —DayakDaily