ADUN Stakan: Kesesakan di Samarahan Expressway dipandang serius, jalan penyelesaian dicari

Hamzah (kiri) pada sidang media di Unigarden semalam.

SAMARAHAN, 16 Jan: Kerajaan memandang serius kesesakan yang berlaku di sepanjang Samarahan Expressway akibat kerja-kerja penambahbaikan jalan yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Menurut ADUN Stakan Datuk Hamzah Ibrahim, agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) berusaha mencari penyelesaian bagi mengurangkan kesesakan tersebut.

“Kita telah berbincang dengan pihak terbabit termasuk JKR, Majlis Perbandaran Samarahan (MPS), kontraktor dan agensi lain yang terlibat.


“Hasilnya pihak JKR dan kontraktor melihat isu ini sebagai serius dan akan mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan kesesakan khususnya di Samarahan Expressway dan Jalan Datuk Mohmad Musa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Penyerahan Kunci Medan Selera Unigarden pada semalam.

Tambah Hamzah, projek penambahbaikan jalan di sepanjang Samarahan Expressway lewat daripada jadual asal dan di kategori oleh JKR sebagai projek sakit.

Mengikut jadual katanya, ia sepatutnya siap pada Jumaat lepas.

“Tetapi, sehingga ke hari ini (Sabtu) ia masih belum lagi siap dan saya yakin pihak JKR ada perancangan untuk memastikan projek disiapkan segera.

“Dan saya dimaklumkan bahawa pihak JKR kini di dalam proses memberikan peringatan terakhir kepada kontraktor.

“Saya terus mendesak supaya JKR mengambil tindakan serius kerana saya meletakkan kepentingan kepada warga Samarahan ,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan Jalan Datuk Mohamad Musa kini berjalan lancar dan dijangka siap pada Ogos tahun hadapan. — DayakDaily