ADUN Repok gesa Dermaga konkrit dipindah ke Sungai Nyelong

Datuk Seri Huang Tiong Sii
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 NOV: ADUN Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii gesa pihak kerajaan menilai semula cadangan projek Pemindahan Dermaga Konkrit ke Sungai Nyelong.

Katanya, kawasan Sungai Nyelong merupakan kawasan perindustrian di Bandar Sarikei, jadi permindahan dermaga tersebut ke kawasan Sungai Nyelong adalah bertepatan dan sesuai sekali.

Advertisement

“Kepesatan pembangunan telah mengubah wajah bandar Sarikei pada hari ini. Lokasi dermaga di tengah bandar sudah tidak sesuai lagi.

“Lebih menyulitkan keadaan dan sangat berbahaya apabila terdapat aktiviti pemunggahan kargo dari kapal, di mana banyak lori-lori besar akan menyebabkan kesesakan yang serius di kawasan terbabit,” katanya.

Huang berkata demikian semasa memberi ucapan menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan(2020), 2021 dan Usul untuk merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut beliau, cadangan pemindahan dan pembinaan RC Wharf yang baharu pernah dikemukakan oleh pihak kementerian bertanggungjawab, dan lokaliti dan kos telah dikenalpasti.

Dalam pada itu, Huang turut mencadang kepada kerajaan supaya dapat dipertimbangkan penambahan Zon Industri Bersubsidi di Sarikei.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan membangunkan industri-industri lain sebagai nilai tambah kepada pendapatan dan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Dengan terbinanya Jalan Sarikei ke Tanjung Manis dan Lebuhraya Pan Borneo, potensi sektor industri khususnya kecil dan sederhana untuk berkembang maju adalah cerah,” ujar Huang. — DayakDaily

Advertisement