Adun Kota Sentosa luangkan masa bersama warga Lions Nursing Home

Wilfred (tiga kiri) bersama warga emas di Lions Nursing Home, Jalan Stutong Baru.

KUCHING, 3 Okt: Adun Kota Sentosa Wilfred Yap hari ini meluangkan masa bersama 60 warga emas yang merupakan penghuni Lions Nursing Home di Jalan Stutong Baru.

Kunjungan anjuran Belia Shiang Fatt Ting Benevolent Society Sarawak adalah bersempena Festival Kuih Bulan.

Pada kunjungan itu, selain kuih bulan pelbagai makanan lain turut disampaikan bagi menceriakan semua penghuni.


Turut diadakan ialah perkhidmatan menggunting rambut.

Wilfred dalam ucapan ringkasnya berkata, golongan tua adalah tiang keharmonian komuniti yang turut menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Justeru kita seharusnya mengiktiraf sumbangan terdahulu mereka kepada masyarakat.

“Sumbangan ini kita iktiraf menerusi polisi dan peruntukan yang secukupnya bagi tujuan penjagaan serta sokongan kepada keluarga.

“Ini penting kerana Sarawak kini menuju ke negeri tua menjelang 2028,” katanya. — DayakDaily