ADUN Kedup gesa bina sekatan di pintu masuk kampung

Seorang budak menjalani ACD di Dewan Serbaguna Kampung Mongkos.

KUCHING, 11 Mei: ADUN Kedup Martin Ben menasihati ketua-ketua kaum agar membuat sekatan jalan di simpang masuk kampung bagi menghalang penduduk kampung keluar masuk dalam tempoh 14 hari.

Katanya, penduduk kampung yang bekerja di bandar juga dinasihati supaya tidak balik ke kampung buat sementara waktu.

“Tanpa kerjasama daripada semua pihak maka amat sukar rantaian penularan Covid-19 diputuskan,” katanya memetik laporan UKAS.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat DUN Kedup katanya dalam proses untuk memberi bantuan bakul makanan kepada keluarga yang dikuarantinkan.

Sementara itu semalam, seramai 563 daripada 1,126 orang penduduk di Kampung Mongkos menjalani saringan pengesanan kes secara aktif (ACD) di Dewan Serbaguna Kampung Mongkos.


Kaedah pengesanan dibahagikan kepada enam zon bagi memudahkan proses berkenaan termasuk pada hari ini.

Pegawai Kesihatan Nicolson Gumbang memberitahu, kesemua penduduk yang menjalani ACD akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah masing-masing.

Katanya, tindakan tersebut bagi mengesan kes sekaligus memutuskan rantaian penularan Covid-19. — DayakDaily