ADUN Kalaka mohon kerajaan laksana projek impak besar

Abang Johari (empat kiri) menyampaikan Kenyalang Gold Card kepada salah seorang penerima di Program Sarawakku Sayang di Saratok. Turut kelihatan Mohamad (tiga kiri).

SARATOK, 18 Nov: ADUN Kalaka Mohamad Duri memohon kerajaan membina tebingan sungai serta kemudahan lain di kawasannya demi mempergiatkan sosio ekonomi penduduk setempat.

Katanya, ia termasuk pembinaan jalanraya di Kampung Tengah Kupang bagi memudahkan penduduk mengerjakan lot tanah masing-masing.

“Saya juga memohon kerajaan melaksanakan kerja pembersihan Sungai Melano sebagai usaha menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku.


“Semua projek ini sekiranya dilulus dan dilaksanakan, ia dapat memberi impak besar dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar.

“Projek juga bakal mempergiatkan aktiviti sosio ekonomi dan pelancongan penduduk,” katanya dalam ucapan aluan di Program Sarawakku Sayang di Saratok hari ini.

Majlis telah disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mohamad turut memohon agar Kerajaan menaiktaraf infrastruktur asas di Skim Penempatan Semula di kawasan Saratok.

Menurut beliau, sistem perparitan hendaklah dinaiktaraf kepada parit konkrit agar memudahkan kerja penyelenggaraan kelak.

“Kita memohon peruntukan disediakan bagi kerja-kerja menembok lot-lot, ini boleh meringankan beban kewangan para pemilik,” kata Mohamad. — DayakDaily