ADUN Bukit Begunan: Tapis dahulu berita yang disebar dalam media sosial

Mong membuat ucapan ringkas di Masjid Nahdatul Islam, Kampung Melayu Tanjung Bijat di Sri Aman.
IBRACO WEBSITEI

Oleh Chris bishop

KUCHING, 18 Mei: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang menasihati rakyat agar sentiasa menilai kesahihan kandungan berita yang disebarkan melalui media sosial.

Berucap di Program Jelajah Ramadhan Masjid Nahdatul Islam Kampung Melayu Tanjung Bijat di Sri Aman baru-baru ini, beliau berkata sebahagian daripada berita adalah tidak benar dan sengaja disebar untuk memecah-belah perpaduan rakyat di negeri ini.

“Jangan percaya sepenuhnya berita yang tidak sahih yang sengaja disebarkan di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan tertentu.

“Sesetengah berita itu boleh mengancam keselamatan serta perpaduan dikalangan rakyat di Sarawak terutamanya yang melibatkan agama,” katanya.

Di samping itu, beliau mengajak rakyat khususnya di perkampungan Melayu Tanjung Bijat agar sentiasa bersama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usaha membangunkan kawasan.

Ujarnya, polisi kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memberi penekanan pada program pembangunan di luar bandar harus disokong.

“Polisi ini akan membawa manfaat kepada golongan sasar di luar bandar agar seiring dengan kemajuan yang dikecapi rakyat di bandar,” katanya.

Dalam pada itu, Mong mengumumkan peruntukkan RM30,000 kepada JKKK Masjid Nahdatul Islam dan RM30,000 lagi untuk JKKK Kampung Melayu Tanjung Bijat.

Sebelum ini, beliau memperuntukkan RM90,000 melalui RTP untuk membaikpulih Masjid Nahdatul Islam, Tanjung Bijat.

Terdahulu, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee, berkata sebanyak 13 program yang sama akan diadakan pada bulan puasa ini yang melibatkan lapan buah masjid dan lima buah surau di kawasan Sri Aman.

Katanya, tujuan program adalah untuk merapatkan hubungan silatulrahim bersama penduduk kampung dan mengambil tahu permasalahan yang masih dialami. — DayakDaily