Adik maut, disyaki dilibas sabit oleh abangnya di Jalan Landeh

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, 20 Sept: Seorang lelaki maut, akibat dipercayai dilibas senjata tajam oleh abangnya sendiri dalam satu insiden di Jalan Landeh Batu 10 semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 7.30 malam di hadapan rumah suspek.

Katanya, mangsa berusia 49 tahun itu dilaporkan datang ke rumah abangnya dalam keadaan mabuk dengan membawa senjata tajam dipercayai sabit.

“Siasatan mendapati suspek menyatakan telah didatangi mangsa dengan membawa sebilah sabit dalam keadaan marah-marah dan disyaki dalam keadaan dipengaruhi alkohol.

“Mangsa dilaporkan terlebih dahulu menyerang suspek tetapi senjatanya berjaya dirampas suspek yang kemudian melibaskannya ke arah betis kiri mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dan darah keluar dengan banyak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian segara balik ke rumahnya yang bersebelahan sahaja dan telah dihantar oleh emaknya ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia.

“Suspek yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian kemudian ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Soal siasat lanjut akan dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Padawan bersama D6 dan D9 JSJ IPK Sarawak bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian belaku,” katanya. — DayakDaily