Adik maut, abang selamat dalam kemalangan jalan raya

Keadaan di tempat kemalangan yang melibatkan dua adik beradik.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SERIAN, April 8: Seorang lelaki maut, manakala abangnya selamat selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di Batu 27, Jalan Lama Kuching-Serian di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Mohd Jap Junaidi, 22, dan berasal dari Kampung Lintang Baru, Serian.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, adik beradik berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Pekan Tapah menuju ke Kampung Panchor Dayak di sini.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan semasa melalui laluan berselekoh.

“Keadaan itu menyebabkan kedua-dua adik beradik tersebut tercampak di atas jalan raya.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan si adik mengalami kecederaan parah di kepala, manakala si abang luka di kaki kanannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Alexson menambah, petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily

Advertisement