Adik maut, abang cedera dalam kemalangan jalan raya

Kelihatan motosikal mangsa selepas kemalangan.

LUNDU, Okt 7: Seorang lelaki maut, manakala abangnya cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Kampung Biawak di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Ramlee Atam, 51, disahkan meninggal dunia di Hospital Lundu akibat kecederaan parah di kepalanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa telah melanggar sebuah lagi motosikal yang ditunggang oleh abangnya.


Katanya, impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya lalu kepalanya terhantuk pada batu di bahu jalan berkenaan.

“Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Lundu untuk menerima rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, semasa mendapatkan rawatan di hospital, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, abang mangsa yang berusia 55 tahun pula masih menerima rawatan di hospital sama.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dah abangnya tidak disyaki di bawah pengaruh alkohol.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily