Adik ditangkap kerana cuba menikam abang di Bau

Pisau jenis kerambit yang dirampas daripada suspek.

BAU, Nov 12: Seorang lelaki ditangkap selepas dikatakan mengamuk apabila ditegur abangnya semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata kejadian berlaku di Kampung Lidah Tanah di Jalan Batu Kitang iaitu sekitar jam 8.30 malam.

Jelasnya, suspek yang berusia 28 tahun berjalan di sekitar kampung serta menakutkan orang ramai dengan menggunakan sebilah pisau.

“Kejadian tersebut disedari oleh abang suspek dan terus menegur adiknya itu menyebabkan dia marah dan cuba menikam abangnya sehingga menyebabkan kecederaan di pergelangan tangan.

“Abangnya kemudian terus membuat laporan polis berhubung kejadian untuk keselamatan diri serta keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Poge memberitahu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau hadir di lokasi kejadian dan terus menangkap suspek.

“Turut dirampas ialah sebilah pisau kerambit,” katanya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana suspek mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

“Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan,” kata Poge. — DayakDaily