Acara Sarawak Kids Got Talent 2018 akan bermula September depan

Fatimah (tengah) mempengerusikan mesyuarat mengenai acara pertandingan Sarawak Kids Got Talent (SKGT) 2018 di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di Kuching, semalam.
Advertisement

KUCHING, Ogos 28: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak akan mengadakan acara Sarawak Kids Got Talent (SKGT) 2018 bagi disertai kanak-kanak dari semua agensi pendidikan awal kanak-kanak yang berdaftar di negeri ini mulai September depan.

Menteri Kebajikan Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sebelum ini acara sedemikian hanya diadakan berasingan oleh semua agensi terbabit samada taman asuhan kanak-kanak (taska), taman bimbingan kanak (tabika), taman didikan kanak-kanak (tadika) dan pra-sekolah dan dikenali sebagai Hari Potensi Kanak-Kanak.

“Jadi kami mengadakan pertandingan SKGT 2018 peringkat negeri ini bagi disertai semua kanak-kanak termasuk dari luar Sarawak yang dididik agensi terbabit samada dibawah kerajaan atau swasta yang berdaftar di Sarawak. Ini bagi mencungkil bakat kanak-kanak mereka dalam kategori yang dipertandingkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat pertandingan terbabit, di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, semalam.

Advertisement

Fatimah berkata ada empat kategori pertandingan terbabit yang julung kali diadakan iaitu pengucapan awam dalam bahasa Inggeris, bahasa Iban, bahasa Melayu dan bahasa Mandarin (usia 4-6 tahun), kategori pertandingan tarian bebas (kumpulan usia 4-6 tahun dan bawah usia 4 tahun), kategori nyanyian solo (bawah usia 4 tahun dan usia 4 hingga 6 tahun), kategori pertandingan melukis (usia 4-6 tahun) dan kategori bakat istimewa (usia 4-6 tahun).

Katanya penghakiman saringan pertandingan terbabit akan bermula dengan kanak-kanak dari pra-sekolah dibawah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan swasta dari seluruh negeri di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg pada September 5 depan dan kemudian kanak-kanak dari Tadika Sedidik dari seluruh negeri ini di Riverside Shopping Mall pada September 8 depan.

“Ini diikuti pertandingan itu bagi kanak-kanak dari Tabika Perpaduan dari seluruh negeri ini pada September 13 di satu tempat yang belum ditentukan dan kemudian bagi kanak-kanak dari Tabika Kemas dari seluruh negeri di Auditorium (Bangunan) Sultan Iskandar pada September 17 depan serta seterusnya bagi kanak-kanak dari tadika swasta yang berdaftar di seluruh negeri di satu tempat yang belum ditentukan pada September 18 depan,” katanya.

Manakala pusingan akhir pertandingan itu akan diadakan di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Oktober 19 depan dan dijangkakan dihadiri Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tun Tuanku Bujang bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan terbabit.

Fatimah berkata hadiah untuk pertandingan pengucapan awam dalam bahasa Inggeris, bahasa Iban, bahasa Melayu dan bahasa Mandarin ialah sebanyak RM700 bagi setiap pemenang manakala kategori pertandingan tarian bebas bagi kumpulan usia 4-6 tahun (RM2,000) dan usia bawah 4 tahun (RM2,000), kategori nyanyian solo bawah usia 4 tahun (RM700) dan usia 4 hingga 6 tahun (RM700), kategori pertandingan melukis (RM700), kategori bakat istimewa (RM700) serta semua hadiah juga disertakan trofi dan sijil. — DayakDaily

Advertisement