Ketua PRS Po Ai menafikan 80 ahli dari Po Ai Enggat menyertai PKR

Majing (duduk tiga dari kiri) bergambar dengan ahli-ahli PRS Rumah Jumat Po Ai, Sri Aman baru-baru ini.

KUCHING, Ogos 28: Ketua ranting Parti Rakyat Sarawak (PRS) Po Ai, Sri Aman menafi dengan sekeras-kerasnya kenyataan pengerusi ranting Parti Keadilan Rakyat (PKR) Po Ai dimana beliau telah mendakwa bahawa 80 orang ahli PRS ranting rumah panjang Po Ai Enggat telah keluar parti dan menyertai PKR baru-baru ini.

“Saya ingin memperbetulkan kenyataan tersebut. Sebenarnya, daripada rekod kami, hanya sejumlah 52 ahli yang berdaftar dengan PRS di rumah panjang Po Ai Enggat. Jadi adalah sangat mustahil sekiranya ada 80 orang ahli PRS di sini yang keluar daripada parti (PRS).

“Jadi kami tidak tahu yang lainnya datang dari parti mana kerana setahu kami, hanya segelintir sahaja yang bertindak demikian,” ujar Majing ketika membidas kenyataan yang dibuat oleh pengerusi PKR ranting Po Ai Kichin Akin yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.


Beliau menambah, 80 orang yang didakwa menyertai PKR sebenarnya bukan ahli-ahli PRS, tetapi daripada parti komponen lain.

“Dan mereka ini juga bukan dari Kampung Po Ai sahaja, tetapi mereka datang dari kawasan lain,” jelas Majing.

Beliau manambah, pada majlis tersebut, kebanyakan mereka yang hadir adalah dari segenap Bahagian P.202 Sri Aman; dari Balai Ringin hingga ke Undup.

“Dan saya juga ingin menegaskan disini bahawa Po Ai sebenarnya mempunyai dua buah rumah panjang iaitu Rumah Panjang Po Ai Enggat dan Rumah Panjang Po Ai Asal, dan bukannya tiga buah kampung seperti yang dilaporkan oleh parti pembangkang. Mereka seharusnya melaporkan berita yang betul supaya tidak mengelirukan rakyat,” jelas beliau.

Majing berkata, beliau dan ahli-ahli PRS Po Ai sebenarnya tidak terkejut dengar tindakan segelintir ahli-ahli parti menyertai PKR kerana sebelum ini pun mereka lebih menjurus menyokong parti pembangkang pada pilihan raya umum yang lepas.

“Walau apapun, kami ahli-ahli parti PRS tetap setia dan menyokong sepenuhnya pucuk pimpinan parti serta Ketua Menteri Sarawak dan juga wakil rakyat kami. Malah kami sangat berpuas hati dengan wakil rakyat yang sentiasa peka dengan permasalahan rakyat dan memberikan banyak sumbangan kepada penduduk di kampung-kampung dan rumah-rumah panjang di kawan dewan undangan negeri Bukit Begunan,” jelas Majing. — DayakDaily