KUCHING, Feb 15: Pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak menafikan mereka kurang bersetuju dengan cadangan kerajaan pusat yang mahu menurunkan had umur pengundi di negara ini dari 21 tahun kepada 18 tahun.
Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak, Muhammad Hazim Azhari berpendapat belia berusia 18 tahun dan baharu sahaja tamat persekolahan adalah golongan yang belum cukup didedahkan dan matang mengenai politik.
“Tidak juga (ini menyebabkan beliau kurang bersetuju dengan cadangan menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun), kami akan ikutlah kerana kami hanya boleh menyuarakannya jika betul diturunkan. Terpulang kepada kerajaan pusat kerana mereka adalah pembuat polisinya,” katanya ketika ketika menghadiri Kolokium Kepimpinan Belia anjuran ABIM Negeri Sarawak dan Jabatan Belia dan Sukan Sarawak di Auditorium Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Jalan Tun Zaidi Adruce, di sini, semalam.
Muhammad Hazim bagaimanapun berhasrat memohon kerajaan pusat menyediakan program mendedahkan kalangan belia berusia 18 tahun tentang arena politik dan amalan demokrasi negara ini sekiranya umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun.
“Jadi kalau betul diturunkan (had umur pengundi kepada 18 tahun), kita akan cari jalan bekerjasama (dengan kerajaan pusat) bagi membuat satu program yang boleh memberikan pendedahan tentang politik dan demokraksi kepada anak muda ini,” katanya.
Beliau yakin program tersebut penting disediakan supaya belia dari usia 18 tahun lagi akan mengunakan kuasa mengundi mereka sebaiknya dan tidak sewenangnya melakukan tindakan atau keputusan politik secara emosi.
“Saya juga fikir Kementerian (Belia dan Sukan) sekiranya mereka betul komited dengan usul menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun, mereka juga perlu memainkan peranan penting mematangkan para belia berusia 18 tahun (tentang politik),” katanya.
Ini kerana beliau khuatir ianya akan mengambil masa lama bagi mematang belia berusia 18 tahun dalam politik dan disamping itu kemungkinan juga ramai belia tidak berminat mendaftar menjadi pengundi kerana ketika ini usaha mendaftarkan belia berusia 21 tahun keatas menjadi pengundi juga sudah menjadi satu cabaran besar.
Menurut Muhammad Hazim, kalangan belia di Sarawak ditafsirkan sebagai individu yang berusia dari 15 tahun sehingga 60 tahun dan berbeza dengan tafsiran belia di negara ini iaitu individu berusia 15 tahun sehingga 40 tahun.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini yang kabinet memutuskan akan menurunkan umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan akan dibuat tidak lama lagi.
Syed Saddiq berkata salah satu perkara perlu dilakukan pihaknya adalah bekerjasama dengan sayap pemuda parti-parti pembangkang kerana majoriti dua pertiga diperlukan untuk membuat pindaan undang-undang itu dan sekiranya berjaya, semua yang berusia 18 tahun boleh mengundi menjelang pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, umur mengundi bagi Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, India, Iran,Indonesia, Filipina, Thailand dan Kemboja telah diturunkan kepada 18 tahun dan hanya Malaysia dan Singapura masih kekal usia mengundi pada 21 tahun. — DayakDaily