ABIM Sarawak menyokong ketegasan kerajaan dalam menyekat kemasukan atlet Israel

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 28: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak merujuk laporan berita Reuters bertarikh Januari 27, 2019 bertajuk “M’sia stripped of 2019 World Para Swimming Championships over Israeli ban”.

Menurut laporan tersebut, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) telah menarik hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia yang dijadualkan berlangsung di Kuching dari Julai 29 hingga Ogos 4, 2019 akibat pendirian tegas Malaysia untuk menyekat kemasukan atlet dari Israel ke negara ini.


Sehubungan itu, ABIM Sarawak memandang ketegasan kerajaan Malaysia dalam menyekat kemasukan atlet Israel ke negara ini sebagai suatu tindakan berani dan berprinsip.

Yang Dipertua ABIM Sarawak, Muhammad Hazim Azhari berkata, sememangnya Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, malah menjadi pendokong kuat kepada perjuangan pembebasan Palestin daripada penindasan oleh negara penjajah Israel.

Katanya, tindakan sedemikian adalah sejajar dengan dasar yang dipegang oleh kerajaan Malaysia yang selama ini tidak memberi kebenaran kepada pemegang pasport Israel daripada memasuki negara ini.

“Kerajaan Malaysia telah mengekalkan dasar ini dengan tegas dan teguh tanpa sebarang pengecualian.

“Akibatnya, pihak Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) semalam (Januari 27) telah membuat keputusan untuk menggugurkan hak Malaysia sebagai tuan rumah bagi kejohanan yang sudah terjadual itu dan akan mencari lokasi baharu bagi acara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Muhammad Hazim menambah, alasan seperti “isu sukan jangan dipolitikkan” atau “memohon Sarawak menggunakan kuasa imigresen bagi membenarkan atlet Israel masuk” seperti dicadangkan sebelum ini oleh sayap Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan The Movement for Change Sarawak (MoCS) wajar difikirkan semula.

Sehubungan itu katanya, ABIM Sarawak juga mengesyorkan kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menyatakan sokongan terhadap pendirian kerajaan Malaysia atas nama kebenaran, keadilan dan kemanusiaan sejagat.

“Sekali lagi, kami memohon Ketua Menteri dan pucuk pimpinan Sarawak untuk bersama-sama menyatakan pendirian menyokong tindakan kerajaan Malaysia dalam hal ini.

“Kami yakin, warga Sarawak juga bersama mendokong perjuangan Palestin, demi kebenaran dan keadilan sejagat,” katanya. — DayakDaily