ABIM Sarawak gesa rundingan serius tangani isu pembinaan tiga jambatan

ABIM Sarawak

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 27: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak menggesa rundingan serius antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu dilakukan berhubung tiga projek jambatan di kawasan pesisir Sarawak.

Yang Dipertua ABIM Sarawak, Muhammad Hazim Azhari berkata, rundingan pembinaan jambatan Rambungan, Batang Lupar dan Batang Igan harus dilakukan demi kepentingan rakyat Sarawak.


Jelasnya, ABIM Sarawak melihat polemik itu sebagai suatu situasi yang merugikan rakyat Sarawak.

“Sewajarnya para pemimpin dari negeri ini berusaha dan berganding bahu melayani keperluan rakyat yang masih memerlukan kemudahan-kemudahan asas seperti jaringan perhubungan darat yang baik dan efisen.

“Kami yakin rakyat negeri ini juga memahami kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan Persekutuan sehingga terpaksa menilai semula banyak projek infrastruktur awam,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Muhammad Hazim menambah, pihaknya percaya kerajaan Persekutuan pastinya telah melakukan penilaian semula kos tanggungan seterusnya memberi keutamaan kepada projek-projek yang penting dan utama.

Katanya, bagaimanapun alasan ‘kekangan kewangan’ sebagai justifikasi bagi menangguhkan suatu keperluan rakyat adalah terlalu simplistik.

“Jika benar perlu penangguhan, adalah baik sekiranya disokong dengan fakta seperti analisis kos-faedah projek sebagai alat pembuat keputusan yang lebih meyakinkan.

“Namun begitu, besar kemungkinan terdapatnya cara dan kaedah bagi mengatasi permasalahan ini, salah satunya dengan mempertimbang saranan dan tawaran kerajaan negeri bagi mendahulukan pembiayaan projek tiga jambatan ini,” katanya.

Jelas Muhammad Hazim, pembayaran semula dapat dilakukan secara berperingkat oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri termasuk dengan cara pemotongan hutang negeri kepada Persekutuan sekiranya ia suatu kaedah yang mungkin dapat dilaksanakan.

Tambahnya, mereka percaya kesemua pemimpin yang terlibat dalam polemik ini walaupun berbeza ideologi dan platform politik sangat memahami keperluan rakyat negeri ini. -DayakDaily