Abdullah: Cerita dongeng PBB menyertai PH

Abdullah Saidol

KUCHING, Mei 12: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen tidak perlu untuk merasa bangga dengan andaian mengarut beliau bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) teringin menyertai Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Abdullah Saidol.

Beliau berkata Chong perlu ditanya mengapa Chong begitu teruja atau mungkin menunjuk reaksi tergugat dengan berita palsu tersebut.

Jelas beliau, reaksi Chong sehingga tiba-tiba melalut membangkitkan tentang hasrat beliau untuk menangkap semua pemimpin-pemimpin yang korup.


“Nasihat saya ialah beliau harus memulakan tindakan beliau dengan menyiasat dulu pemimpin-pemimpin korup yang sekarang ini ramai dalam rumah PH mereka sendiri.

“Mengapa bersikap hipokrik dan ‘double standard’? Merujuk kepada amalan rasuah dan salahlaku yang dibangkit oleh Chong, mungkin beliau merujuk kepada pemimpin mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdullah yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, pemimpin itulah yang mereka tentang, kritik dan cemuh dengan bersungguh-sungguh tanpa henti sepanjang 22 tahun pemimpin tersebut menjadi Perdana Menteri dulu.

Katanya, tiba-tiba pemimpin tersebut menjadi pujaan mereka dan diangkat menjadi penyelamat negara kononnya.

“Tiba-tiba DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) lupa tentang pelbagai tuduhan amalan rasuah dan salahlaku yang mereka lemparkan terhadap beberapa pemimpin yang dulunya lawan mereka.

“Mungkin amalan mereka ialah sesiapa yg menyertai PH akan dimaafkan serta dikecualikan daripada sebarang tindakan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah memberitahu, Chong bercakap tentang perjuangan DAP dalam isu-isu intergriti dan mencadangkan supaya mereka yang ingin menyertai PH mestilah melalui proses saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Ujar beliau, yang peliknya dan fakta yang benar ialah semua calon PH tidak pernah dirujuk atau diproses oleh SPRM sebelum bertanding dalam PRU14 lalu.

“PBB adalah sebuah parti komponen BN yang telah dipilih melalui Pilihan Raya Negeri dua tahun lepas untuk mentadbir Kerajaan Negeri Sarawak.

“Dan perlu diingatkan bahawa Sarawak adalah salah satu pihak yang menandatangani perjanjian yang menubuh negara Malaysia ini.

“Semua parti dalam komponen BN Sarawak adalah parti politik tempatan yang diasaskan oleh pemimpin-pemimpin ulung anak jati Sarawak daripada pelbagai etnik,” jelasnya lagi.

Abdullah menambah, PBB seperti rakan-rakan lain komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak telah melalui perjalanan sejarah politik yang lama serta proses kematangan politik dan terlibat secara langsung evolusi permodenan negeri Sarawak yang seluas Semenanjung Malaysia.

PBB katanya, akan mempertahankan intergriti serta maruah perjuangan politik dan tidak sesekali akan bertindak seperti “katak”.

“PBB tidak terdesak kerana kami dalam BN Sarawak secara amnya tahu di mana letaknya kekuatan serta kelebihan kami di Sarawak.

“Kami warga Sarawak sentiasa bangga dengan kesederhanaan sikap, perpaduan serta keunikan kami. Kami akan terus bersatu dalam pelbagai agama dan budaya.

“BN Sarawak akan sentiasa menghargai ciri-ciri demokrasi iaitu sama-sama bersetuju untuk kadang-kadang tidak sependapat,” tambahnya.

BN Sarawak kata Abdullah, juga menghormati pilihan majoriti rakyat dalam pilihan raya umum lalu dengan perasaan yang terbuka dan berazam untuk bekerja dengan lebih kuat lagi demi kepentingan semua lapisan masyarakat terutama sekali di Sarawak.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga telah menyatakan kesediaan pentadbiran beliau untuk bekerjasama dengan kerajaan baru di peringkat persekutuan.

“Ini bermaksud kerjasama dalam soal-soal pentadbiran dalam linkungan sistem persekutuan yang kita amalkan. Kerajaan negeri akan mempastikan kerjasama ini mestilah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan menjejaskan hak serta kepentingan negeri.

“Kerajaan negeri juga akan memantau dengan teliti perkembangan serta usaha kerajaan persekutuan yang ditadbir PH untuk mengotakan janji-janji kempen dan manifesto mereka terutama skali yang melibatkan kepentingan negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, perlu dinyatakan juga bahawa kerajaan negeri Sarawak yang diketuai oleh Abang Johari tidak akan berganjak malah meneruskan usaha untuk menuntut segala hak-hak serta kepentingan negeri yang termaktub secara sah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, kerajaan negeri sekarang ini berada dalam situasi yang amat bersedia dan akan mempertimbangkan pelbagai pilihan untuk memastikan tuntutan negeri ini dihormati, diberi perhatian dan menghasilkan keputusan yang sewajarnya.

“Kesungguhan serta keberanian kepimpinan negeri Sarawak yang diketuai oleh Abang Johari hanyalah berkiblat ke arah menjaga kepentingan serta memakmur negeri dan memastikan masa depan anak negeri Sarawak terjamin,” katanya. ā€” DayakDaily