Abdul Karim yakin RWMF 2022 capai sasaran 12,000 pengunjung

Abdul Karim pada sidang media di Kampung Budaya Sarawak hari ini.

SANTUBONG, 15 Jun: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin penganjuran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2022 dapat mencapai sasaran 12,000 pengunjung.

Katanya, walaupun setakat ini jumlah tiket yang berjaya dijual hanya 10,000, kemungkinan jumlah tiket yang dijual akan bertambah dalam tempoh sehari dua ini.

“Ini mungkin pembelian pada saat akhir oleh peminat muzik tempatan,” katanya pada sidang media pada lawatan ke Kampung Budaya Sarawak hari ini.


Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, kementeriannya meletakkan sasaran jumlah penonton lebih rendah berbanding semasa penganjuran sebelum ini.

Menurut beliau, jumlah penonton pada 2019 melebihi 20,000 orang.

Katanya, sasaran untuk tahun ini lebih rendah iaitu 12,000 orang dan ia praktikal setelah mengambil kira kekangan dan situasi semasa.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata situasi sama berlaku ke atas jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Tiga tahun lalu, jumlah pelancong datang ke Sarawak ialah 4.6 juta bagaimanapun tahun ini kementeriannya hanya menyasarkan 1.2 juta pelancong datang ke negeri ini,” katanya. — DayakDaily