Abdul Karim tolak cadangan Bangunan Kuarters Jururawat diroboh, gesa cari alternatif lain

Abdul Karim bertegas Kuarters Jururawat memiliki nilai warisan dan perlu dikekalkan.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Ogos: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menolak cadangan bangunan Kuarters Jururawat di Kuching diroboh.

Tegas beliau, kuarters yang terletak berhadapan Hospital Umum Sarawak (HUS) itu mempunyai nilai warisan dan seharusnya dikekalkan.

Advertisement

Justeru beliau mahu Jabatan Pengairan Dan Saliran (DID) tidak meneruskan projek tebatan banjir dan mencari alternatif atau jalan penyelesaian lain.

“Sangat sedih apabila saya dengar bangunan akan diroboh kerana agensi (DID) mendapati kawasan HUS selalu banjir.

“DID sudah ada cadangan bahawa terdapat keperluan mewujudkan satu kawasan kolam takungan air bagi menyelesaikan masalah banjir.

“Kenapa pula kawasan bangunan jururawat ini yang dipilih (diroboh), ataupun masalah sebenarnya adalah sistem perparitan,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Bangunan Bailtulmakmur di sini, hari ini.

Lebih menyedihkan, tambah Abdul Karim, pihak DID tidak membawa cadangan tersebut kepada pihak kementeriannya yang menjaga perihal warisan.

Katanya, pihak agensi terus berurusan dengan pihak muzium, dengan tidak berunding dengan menteri bertanggungjawab serta tidak berunding dengan setiausaha tetap.

“Dan saya difahamkan pengarah muzium ketika itu dengan senang wenang mengeluarkan kenyataan bahawa kuarters jururawat ini tiada nilai warisan.

“Saya melihat memo dan saya sangat terkejut. Ia diberikan kepada saya pada semalam,” ujar Abdul Karim.

Dalam pada itu, Persatuan Warisan Sarawak (SHS) telah meminta campur tangan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi menghentikan kemusnahan sepenuhnya bangunan Kuarters Jururawat.

SHS juga telah memaklumkan perkara yang sama kepada Abdul Karim. — DayakDaily

Advertisement