Abdul Karim: Tindakan Dr Xavier keluar PKR tepat

Kelihatan Abdul Karim (kiri) pada sidang media di Kuching hari ini (15 Mac 2021).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 Mac: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan tindakan MP Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah tepat.

Katanya, Dr Xavier telah membuat perkiraan secara mendalam seterusnya meletak jawatan Naib Presiden PKR dan menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).


“Dr Xavier adalah seorang pemimpin yang sangat dihormati di dalam PKR.

“Untuk beliau keluar dari PKR dan menyatakan sokongan kepada kerajaan PN menunjukkan kepercayaan terhadap pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian dalam satu sidang media selesai lawatan ke Pusat Kecemerlangan Tinggi Kriket di Petra Jaya hari ini.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan, Dr Xavier merupakan pemimpin yang memiliki prinsip dan telah berjuang begitu lama.

“Beliau telah menghitung sebaiknya bahawa perjuangan bersama PKR tidak mencapai matlamatnya.

“Untuk dia keluar PKR dan menjadi bebas adalah tindakan yang tepat,” ujar Abdul Karim.

Selaras pengumuman untuk keluar PKR Sabtu lepas (13 Mac), bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Jelasnya, faktor beliau berbuat demikian adalah kerana kerajaan ketika ini memerlukan sokongan ‘bipartisan’ dalam usaha memerangi wabak Covid-19, usaha vaksinasi dan memulihkan semula ekonomi. — DayakDaily