Abdul Karim menafikan khabar angin GPS gagal didaftarkan dengan ROS

Abdul Karim (tengah) menyaksikan Kumpulan Lok Thian yang diwakili Hu (dua dari kiri) dan Foo (kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman dengan Kumpulan Kenbest diwakili Stephen (dua dari kanan) dan Jonathan (kanan) di pusat beli belah CityOne Megamall, di Kuching.
Advertisement

KUCHING, Okt 25: Penduduk negeri ini terutama penyokong parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) diminta tidak mempercayai khabar angin yang sedang tersebar mendakwa gabungan tersebut telah gagal didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian berikutan beliau setakat ini tidak ada dimaklumkan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mendaftarkan GPS yang pemohonan gabungan tersebut telah ditolak ROS seperti khabar angin itu.

“Bukan ditolak, ROS tidak menolak, kemungkinan mereka perlu lebih banyak keperluan. Saya tidak terlibat kerana ada jawatankuasa yang mengendalikan pendaftaran GPS, tetapi saya difahamkan yang mereka pergi ke Kuala Lumpur yang mereka masih menunggu kelulusan itu daripada Perdana Menteri dan juga pihak yang bertanggungjawab dalam pendaftaran parti (politik) ,” katanya selepas menyaksikan Kumpulan Lok Thian dan Kumpulan Kenbest menandatangani memorandum persefahaman bagi melaksanakan projek Seafood Shangri-La di pusat beli belah CityOne Megamall, di sini, semalam.

Advertisement

Memorandum persefahaman tersebut telah ditandatangani Kumpulan Lok Thian yang diwakili pengerusinya, Kapitan Hu Jee Juen dan pengarah urusannya, Foo Kee Ann dengan Kumpulan Kenbest diwakili pengarah urusannya, Stephen Long dan pengarah pemasarannya, Jonathan Long.

Projek Seafood Shangri-La ialah pembinaan restoran makanan laut yang seluas 50,000 kaki persegi dan boleh menampung sehingga seramai 2,000 orang di atas bumbung pusat beli belah CityOne Megamall, di sini.

Restoran makanan laut berkenaan dijangka akan siap dan dibuka kepada orang ramai suku pertama 2019 dan akan diuruskan operasinya oleh Lok Thian Restaurant Sdn Bhd.

Gambar ilustrasi restoran Seafood Shangri-La yang akan dibina dan akan dibuka di atas bumbung pusat beli belah CityOne Megamall.

Abdul Karim bagaimanapun merasakan pendaftaran gabungan terbabit tidak akan menghadapi masalah, tetapi sekiranya GPS tidak dapat didaftarkan juga, keadaan itu tidak akan menjejaskan parti komponen dalam GPS kerana kesemuanya sudah berdaftar dengan ROS.

“Apa yang penting ialah semangat (parti komponen GPS) mahu bekerjasama, kerana kabinet negeri ini terdiri dari menteri dari parti komponen GPS, jadi sekiranya tiada GPS, kabinet negeri tetap dapat bergerak dan itu lebih penting dari yang lain,” katanya.

Katanya sekiranya GPS tidak dapat didaftarkan juga, parti komponennya tetap masih dapat bekerjasama bagi bertanding pada pilihanraya negeri akan datang di pembahagian kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipersetujui dan dengan mengunakan lambang parti masing-masing.

“Tetapi sebolehnya kami mahu GPS didaftarkan. Saya tidak tahu sebab sebenar ianya sukar didaftarkan, kami tidak berkonfrantasi dengan mereka (Pakatan Harapan), berlainan sebelum ini, Barisan Nasional (BN) atau Umno memang bergaduh dengan PH sampai sekarang dan akibatnya Umno tidak beri (PH didaftarkan dengan mudah),” katanya dan meminta PH tidak pula melakukan perbuatan sama terhadap parti komponen GPS yang tiada lagi bersama BN

Sementara itu, mengenai lalu penerbangan baharu ke bandaraya ini, Abdul Karim yakin banyak laluan penerbangan berkenaan akan bermula tahun hadapan dengan salah satunya ialah laluan Brunei-Kuching yang sudah hampir dimuktamatkan rundingannya.

“Saya difahamkan akan ada empat atau lima penerbangan di laluan itu yang menhubungkan Bandar Sri Bagawan dan bandaraya Kuching,” katanya tetapi tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenainya.

Abdul Karim berkata laluan terbabit penting bagi negeri ini kerana Brunei sedang dengan hebat mempromosikan pelancongan ke negara tersebut dan ketika ini banyak negara lain sudah mempunyai laluan penerbangan dengan Brunei.

Sehubungan itu, pihaknya mahu membawa seramai mungkin pelancong ke Brunei untuk melawat bandaraya ini dan seluruh Sarawak juga melalui laluan penerbangan baru dengan negara terbabit tahun hadapan. — DayakDaily

Advertisement