KUCHING, 13 Nov: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mahu isu tanah diceroboh di Asajaya diselesaikan di luar mahkamah.
Abdul Karim yang juga Adun Asajaya berkata, beliau telah menghubungi peguam daripada kedua-dua belah pihak.
“Saya tahu apa yang berlaku dan saya rasa bukan sahaja penduduk yang patut kita tegur, Kita juga patut melihat peranan kerajaan.
“Bagaimana tempoh pajakan kepada tanah tersebut boleh dilanjutkan.
“Walhal kawasan tanah yang dikatakan diceroboh telah dibangunkan beberapa buah rumah dan surau,” kata Abdul Karim ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini.
Tan Khi Mong, 67, yang merupakan pemilik berdaftar ke atas tanah seluas 1.901 hektar di Asajaya itu mendapati 10 rumah kediaman dan sebuah surau dibina atas tanah miliknya.
Beliau tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana individu untuk membina atau membangunkan rumah di tanah miliknya itu.
Difahamkan beliau telah membeli tanah yang diklasifikasikan “mixed-zone land” tersebut pada 2014 lalu dan menyedari tanahnya telah diceroboh sekitar 12 Mac 2023.
Berikutan kejadian itu juga beliau telah membuat laporan polis pada 2 Mei 2023.
Susulan itu dan atas cadangan Jabatan Tanah dan Survei, Tan menerusi Chong Brothers pada semalam memfailkan Saman Pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan pemilikan kosong tanah tersebut. — DayakDaily