Abdul Karim: DPN bakal tingkatkan industri pelancongan mulai tahun hadapan

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Dis: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yakin industri pelancongan akan menunjukkan peningkatan yang tinggi melalui Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.

Menurut beliau, ia mampu dicapai dengan adanya perancangan dan teras-teras tertentu yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

“Saya percaya DPN akan menjamin kelangsungan industri pelancongan di negara ini kerana setahun yang lepas industri ini telah jatuh merudung.

“Saya percaya mulai tahun hadapan sehingga 2030, kita akan melihat peningkatan yang tinggi dalam industri pelancongan,” katanya kepada media hari ini.


DPN telah dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Abdul Karim, kerajaan pada pertengahan tahun ini telah melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Sarawak (2020-2035) iaitu selama 15 tahun dan satu daripada komponen yang diberi penekanan adalah industri pelancongan.

Katanya, kementeriannya telah membuat perancangan terperinci agar pelan tindakan tersebut mampu memberikan yang terbaik kepada semua penggiat industri pada 2035 nanti.

“Industri ini begitu besar dan bagi saya ia adalah intan yang perlu kita gilap kerana Sarawak memiliki banyak tempat-tempat menarik yang juga sesuai untuk eko-pelancongan.

“Disamping itu, kita juga memiliki 27 suku kaum yang memiliki budaya dan cara hidup yang berbeza yang boleh menjadi satu produk pelancongan negeri,” ujar beliau.

DPN dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama, termasuk transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif dan menggiatkan digitalisasi pelancongan.

Teras lain ialah memperkaya pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuh komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua subsektor pelancongan. — DayakDaily