Abdul Karim bangga Sibu destinasi pelancongan paling murah di Malaysia

Abdul Karim mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya.

ASAJAYA, 8 April: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bangga Sibu diiktiraf sebagai bandar yang menyediakan penginapan hotel terendah di Malaysia oleh Agoda.

Dengan pengiktirafan itu, beliau yakin ia sudah tentu akan membantu industri pelancongan di bandar tersebut.

“Memang saya juga telah dimaklumkan bahawa Sibu antara bandar yang paling murah untuk para pengunjung dari segi harga bilik hotel dan sebagainya.


“Saya percaya dengan apa yang telah diusahakan kita untuk penerbangan masuk ke Sibu, dengan pembukaan jalan raya dari Sibu ke Kapit sedikit sebanyak membantu merancakkan lagi industri pelancongan di Sibu,” katanya ketika ditemui Program Jelajah Ramadan di Masjid An Najah di Asajaya hari ini.

Selain itu tambah Abdul Karim, pihak kementerian juga sentiasa menguar-uarkan tentang potensi Sibu sebagai pekan dan bandar yang menarik untuk dilawati.

Katanya promosi turut diadakan semasa lawatan ke Berlin di Germany.

“Dengan bertambahnya pengunjung tempatan atau luar negara, ia akan menyemarakkan lagi sektor pelancongan Sibu,” ujar Karim.

Para pelancong yang gemarkan tawaran murah pasti akan gembira apabila data yang dianalisa oleh Agoda mendapati Sibu, Sarawak telah muncul sebagai destinasi pelancongan paling murah di Malaysia.

Bandar itu menawarkan kadar penginapan yang paling kompetitif bulan ini.

Pada Program Jelajah Ramadan hari ini, Abdul Karim turut menyampaikan sumbangan kepada 490 golongan asnaf di sekitar Asajaya.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan turut mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk sekitar Asajaya. — DayakDaily