Abdul Karim: Bajet 2021 mantapkan sektor pelancongan Sarawak

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (file photo).

KUCHING, 9 Nov: Peruntukan sejumlah RM252 juta dalam Bajet Sarawak 2021 di bawah Inisiatif Strategik Nombor 5 bertujuan untuk memantapkan sektor pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sektor pelancongan selama ini telah menyumbang sumber pendapatan lumayan bagi Sarawak namun keadaan ini terbantut akibat wabak Covid-19.

“Peruntukan yang telah dicadangkan oleh Ketua Menteri sememangnya penting demi membangunkan lagi tempat-tempat menarik yang bakal menarik perhatian para pelancongan dari dalam dan luar negeri.

“Ianya juga penting untuk menambah baik tempat-tempat tarikan pelancongan sedia ada supaya kemudahan untuk pelawat berada ditahap sempurna,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah Abdul Karim, peruntukan juga merangkumi pelaksanaan pelbagai program pelancongan termasuk pemasaran, promosi, pembidaan untuk acara dan persidangan perniagaan, festival dan acara pelancongan serta pembangunan infrastruktur

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, peruntukan akan disalurkan ke Muzium Budaya Sarawak, Taman Arkealogi Santubong dan Wallace Centre serta pancuran air terjun di Fort Margherita di Petra Jaya.

Katanya, ia juga disalurkan terhadap pelaksanaan kerja-kerja menambah baik kemudahan di Gua Angin dan Gua Fairy di Bau, Kubu Emma, Kubu Lily, Kubu Brooke dan Kubu Sylvia.

Peruntukan juga disalurkan ke projek transformasi Brooke Dockyard ke Muzium Maritim, projek Pusat Persembahan Seni di Bangunan Dewan Undangan Negeri lama dan Pusat Pelancongan Hutan Bakau di Sadong Jaya.

Sementara itu, Abdul Karim menyifatkan bajet negeri secara keseluruhan telah mengambil kira keadaan ekonomi global yang sangat mencabar, berlatarbelakangkan krisis ekonomi dunia yang serius di tengah-tengah kesan penularan pandemik Covid-19.

“Impak daripada wabak ini telah menimbulkan ancaman besar kepada ekonomi negeri kita yang turut dirasai oleh rakyat.

“Apa yang diperlukan sekarang ialah tindakan pemulihan segera bagi menangani kesan negatif, langkah pemulihan dan membina semula ekonomi negeri Sarawak.

“Bajet 2021 menunjukkan kepada kita bagaimana Kerajaan GPS sememangnya sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan dalam segala perancangan rapi dan tindakan pelaksanaan seterusnya,” ujar beliau.-DayakDaily