Abdul Karim: Anwar akan meninggalkan istana dengan perasaan kecewa

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 12 Okt: Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yakin presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meninggalkan istana dengan perasaan kecewa esok.

Ditemui pemberita hari ini, Abdul Karim turut percaya Anwar juga akan diberi nasihat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar tidak menjejaskan kestabilan politik pada masa kini.


“Kita memiliki Yang di-Pertuan Agong yang mampu membaca situasi.

“Saya percaya pada pertemuan itu nanti, Anwar akan diberi nasihat oleh Yang di-Pertuan Agong,” kata Abdul Karim yang juga naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tambah beliau, negara kini memiliki sebuah kerajaan yang bagus yang mampu menangani pandemik Covid-19 dan perdana menteri telah menguruskannya dengan baik.

“Justeru, jangan lagi mengugat kestabilan politik kini,” jelas beliau.

Pada 8 Oktober lepas, Anwar selaku pengerusi Pakatan Harapan (PH) memaklumkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan.

Dalam satu kenyataan, beliau mendakwa Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan untuk beliau menghadap esok (13 Oktober, 2020).-DayakDaily