Abang temui adik mati tergantung pada dahan pokok

Kelihatan tempat mangsa ditemui mati tergantung di Kampung Tematu.

KUCHING, Jun 30: Misteri kehilangan seorang lelaki terungkai apabila dia ditemui mati tergantung di belakang rumah keluarganya di Kampung Tematu di sini hari ini.

Mangsa, Augustine Nohey Jikat, 33, ditemui mati oleh abangnya dalam keadaan tergantung pada dahan pokok kira-kira pukul 7.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, berdasarkan maklumat daripada keluarga mangsa, kali terakhir mangsa dilihat berada di rumah ialah pada pukul 8.30 malam.


Katanya, kali terakhir mangsa dilihat semasa dia makan malam bersama keluarganya.

“Bagaimanapun, selepas itu mangsa tidak kelihatan sebelum dia ditemui mati dalam keadaan tergantung pada dahan pokok oleh abangnya.

“Abang mangsa kemudian bertindak menurunkan mayat mangsa sebelum dia membuka ikatan wayar pada leher mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidil menambah, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang penjawat awam dan masih bujang serta tiada mempunyai sebarang masalah.

“Buat masa kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” ujarnya. — DayakDaily