Abang maut, adik cedera dalam kemalangan di Jalan Mambong

Keadaan motosikal mangsa.
Advertisement

PADAWAN, 4 Sept: Seorang lelaki maut, manakala adiknya parah dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Mambong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 7.20 malam.

Katanya, mangsa, 26, berasal dari Kampung Sikog, semasa kejadian dikatakan menunggang motosikal dan telah berlanggar dengan adik lelakinya yang menunggang sebuah lagi motosikal.

Advertisement

“Kemalangan berlaku semasa adik mangsa dari arah Kuching menuju ke Kampung Sikog.

“Apabila sampai di Jalan Mambong dan sedang bergerak lurus, motosikalnya berlanggar dengan motosikal mangsa yang tiba-tiba masuk ke laluannya.

“Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Manakala adik mangsa yang turut mengalami kecederaan di kepala dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement