This Content Is Only For Subscribers
KUCHING. 15 Julai: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merestui kerjasama antara Parti Progresif Demokratik (PDP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Namun katanya, kerjasama itu tidak menganggap bahawa PSB sebahagian daripada parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kalau ada orang (PSB) mahu membantu, kita terima dan itulah pendirian kita.
“Paling penting ialah Sarawak dikenali sebagai sebuah negeri yang memiliki perpaduan yang kuat,” katanya pada sidang media di Kuching malam ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GPS.
Tambah Abang Johari, polisi GPS menerima mana-mana parti yang sudi membantu demi kemakmuran Sarawak.
“Oleh sebab itu kita telah diakui sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia,” katanya.
Pada Khamis lepas, satu Majlis Menandatangani MoU PDP bersama PSB yang dihadiri Presiden PDP Dato Sri Tiong King Sing dan Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh telah diadakan di Kuala Lumpur.
MoU itu didakwa akan membuka jalan kepada PDP, yang merupakan parti komponen GPS, dan PSB untuk bekerjasama, mungkin ke arah penggabungan.
Majlis menandatangani MoU berkenaan turut dihadiri Naib Presiden PDP Datuk Henry Harry Jinep dan Timbalan Presiden PSB Dr Johnical Rayong Ngipa. — DayakDaily