Oleh Chris Bishop
KUCHING, 7 Mac: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memberi penekanan terhadap perjuangan menuntut hak-hak Sarawak.
Ketua menteri yang juga presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata perjuangan menuntut hak-hak negeri Sarawak adalah perkara utama dalam syarat GPS menyertai kerajaan gabungan Perikatan Nasional plus GPS (PN+GPS).
“Kedua, GPS adalah entiti politik dari Sarawak, iaitu parti-parti yang lahir dari Sarawak yang akan memperjuangkan hak-hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
“Perkara ketiga, kalau ada krisis yang dihadapi negara, maka PBB bersama rakan-rakan GPS hendaklah menyelesaikannya. Ini adalah kerana jika negara menghadapi keadaan yang tidak stabil, ia akan memberi kesan kepada Sarawak,” katanya pada sidang media selesai mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi PBB di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, GPS juga harus melihat keadaan ekonomi yang dihadapi Malaysia. Katanya, ketidaktentuan ekonomi kini mengakibatkan nilai ringgit tidak stabil selain menghadapi tekanan ekonomi luaran.
“Kita juga mengambil kira statistik yang dikeluarkan Bank Negara pada Disember 2019, di mana ekonomi negara mengucup 3.6 peratus. Ini menandakan bahawa ekonomi negara kita juga tidak menentu, lebih lebih lagi keadaan Covid-19 yang menjadi cabaran kepada kita,” ujar beliau yang juga pengerusi GPS.
Oleh yang demikian, menurut Abang Johari, GPS telah menerima pelawaan dari Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) plus GPS di peringkat persekutuan.
“Pelawaan ini kita terima dua hari yang lepas dan kita telah setuju menerima, namun kita (GPS) kekal sebagai satu entiti politik (berasingan),” tegas Abang Johari.
Parti-parti politik dalam gabungan GPS termasuk Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United Peoples’ Party (SUPP) dan Progressive Democratic Party (PDP). — DayakDaily