Abang Johari: Semua kelompok masyarakat diberi perhatian tanpa penyisihan

Pehin Sri Taib (dua dari kiri) memotong kek Hari Jadi Ke-84 sambil disaksikan Toh Puan Raghad Kurdi Taib (tiga dari kiri). Turut kelihatan Abang Johari (kiri)
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Okt: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil pendekatan inklusif dan prihatin dalam setiap pembangunan yang dirancang.

Kata Abang Johari, semua kelompok masyarakat sama ada golongan isirumah yang berpendapatan rendah, orang kelainan upaya, golongan tidak menamatkan persekolahan, suku kaum minoriti dan lain-lain telah diberi perhatian tanpa ada penyisihan.

Advertisement

“Kerajaan GPS berazam untuk mengurangkan kadar golongan isirumah berpendapatan rendah daripada 53 peratus kepada 30 peratus dalam tempoh 10 tahun yang akan datang,” katanya.

Abang Johari berucap pada Sambutan Hari Jadi TYT Pehin Sri Taib ke 84.

Abang Johari berkata demikian pada Sambutan Hari Jadi ke-84 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dewan Undangan Negeri(DUN) malam ini.

Tambah beliau, prinsip kelestarian alam sekitar adalah menjadi pegangan dalam setiap aspek pembangunan sebagai tonggak ketiga yang mesti dilaksanakan.

Kerajaan Negeri katanya, sentiasa berusaha untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang bersih dan sihat yang akan menjadi legasi generasi akan datang.

“Kita amat berbangga kerana lebih 60 peratus keluasan negeri kita masih dilitupi oleh hutan.

“Kerajaan Negeri sentiasa meningkatkan usaha untuk menanam semula hutan yang ada menerusi program perhutanan semula di kawasan-kawasan yang telah diterokai,”ujar Abang Johari.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak amat bertuah kerana dilimpahi dengan kekayaan sumber seperti minyak, gas asli, pasir silica, arang batu, tanah liat dan banyak lagi.

Menurut Abang Johari, pada masa kini kerajaan Negeri sedang merancang dengan teliti agar pembangunan sumber-sumber ini akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan kemakmuran rakyat Sarawak. —DayakDaily

Advertisement