Abang Johari: Kerajaan GPS berjuang untuk rakyat

Abang Johari berucap pada Majlis Makan Malam Bersempena Sambutan Hari Jadi Ke-84 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 Okt: Pembinaan sembilan buah jambatan menghubungkan semua kawasan pesisir Sarawak adalah tanda kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjuang untuk rakyat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, program pembangunan yang dilaksanakan telah melingkari seluruh negeri dari kawasan bandar hingga ke luar bandar.

ā€œKita akan terus mengembangkan infrastruktur, industri baharu, teknologi, pertanian komersial bagi menghasilkan lebih banyak makanan dan melahirkan lebih ramai orang berkemahiran dari luar bandar,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersempena Sambutan Hari Jadi Ke-84 Tuan Yang Terutama(TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dewan Undangan Negeri malam tadi.

Menurut Abang Johari, pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak sepanjang 786 kilometer yang mula dibina pada Oktober 2015, yang menghubungkan Telok Melano di selatan hinggalah ke Lawas di utara Sarawak, telah mula kembali menunjukkan kemajuan yang pesat.

ā€œMalah pada masa yang sama, kerajaan GPS juga akan melaksanakan pembinaan lebuhraya kedua yang akan memendekkan lagi perjalanan dari Kuching ke kawasan tengah iaitu Sarikei, Sibu dan Kapit.

ā€œJalan Sibu-Kapit sudah boleh dilalui walaupun belum siap sepenuhnya dan sudah pasti akan memberi keselesaan kepada warga Kapit dan merupakan kemudahan infrastruktur yang amat penting untuk pembangunan kawasan Kapit.

ā€œSaya yakin sektor pelancongan kawasan Kapit dan Baleh akan dapat berkembang dengan lebih pesat lagi kerana tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan air lagi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut berkata bahawa pembangunan sektor utiliti juga adalah menjadi keutamaan kerajaan iaitu memperluaskan bekalan daripada bandar hingga ke luar bandar.

Pada masa ini katanya, lebih 84 peratus bekalan air terawat telah disediakan di Sarawak dengan penduduk di bandar hampir sepenuhnya mendapat bekalan air terawat dan setakat ini 67 peratus bagi penduduk di luar bandar.

ā€œSaya ingin memaklumkan juga 97 peratus penduduk Sarawak telah menikmati bekalan eletrik 24 jam.

ā€œStatistik menunjukkan bahawa lebih 93 peratus kawasan luar Bandar di Sarawak telah menikmati bekalan elektrik,” jelas Abang Johari.-DayakDaily