Abang Johari: Sarawak tawar kerjasama penuh kepada Indonesia

Raghad menyerahkan sumbangan daging korban kepada salah seorang penerima di majlis tersebut. Turut kelihatan Taib (empat dari kanan) dan Abang Johari (dua dari kanan).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Ogos 11: Sarawak sedia beri kerjasama kepada Indonesia berhubung keputusan Presiden Joko Widodo (Jokowi) memindahkan pusat pentadbiran republik itu dari Jakarta ke Kalimantan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak memerhatikan perkembangan isu tersebut dan akan beri kerjasama jika diperlukan.

Advertisement

“Sememangnya Sarawak menyambut baik usaha tersebut dan kita memerhatikan keputusan Indonesia.

“Keputusan ini untuk kebaikan Indonesia, kalau diperlukan kita boleh beri kerjasama,”katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita di Majlis Korban Perdana anjuran Majlis Islam Sarawak di Dewan Hikmah Kuching pagi tadi bersempena Hari Raya Korban.

Majlis tersebut dihadiri Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Ditanya samada keputusan itu bakal memberi kesan kepada Sarawak, Abang Johari menjawab persoalan itu tidak perlu dibincangkan.

Katanya, itu adalah keputusan negara luar (Indonesia).

Jokowi pada kunjungan ke Kuala Lumpur baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang beliau berharap akan ada satu kerjasama rapat antara Sabah, Sarawak dan Indonesia susulan keputusan kerajaannya memindahkan pusat pentadbiran ke Kalimantan dari Jakarta.

Menurut Jokowi, keputusan itu mampu memberikan satu impak positif dari segi ekonomi serantau terutamanya dua negeri di Malaysia itu, Sabah dan Sarawak yang berjiran dengan Kalimantan.

Memetik laporan Jakarta Globe (Ogos 6), republik tersebut akan memindahkan pusat pentadbiran dari Jakarta ke Kalimantan seawal tahun 2024.

Jokowi dilaporkan akan memberi keputusan lokasi pusat pentadbiran samada di tengah Kalimantan, timur Kalimantan ataupun di selatan Kalimantan pada bulan ini. — DayakDaily

Advertisement