Abang Johari: PRN12 sudah dekat, tunggu isyarat sahaja

Abang Johari (empat dari kiri) memotong riben sebagai simbolik Pelancaran Sarawak Kita Empun di Kuching hari ini (Feb 16, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Feb 16: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) sudah semakin dekat.

Berucap di Majlis Pelancaran Program Sarawak Kita Empun di Kuching hari ini, beliau berkata ia hanya menunggu isyarat sahaja.


Justeru beliau menggesa ahli-ahli dan penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkerja kuat mempertahankan parti dan bangsa untuk masa depan.

“Apa yang penting ialah kita harus yakin, kita kumpulkan tenaga menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

“Pilihan raya sudah semakin dekat dan hanya menunggu isyarat sahaja,” kata Abang Johari pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tambah beliau, GPS yang mengambil keputusan untuk keluar dari gabungan Barisan Nasional (BN) pada tiga tahun yang lepas sekarang sudah semakin kukuh.

Katanya, sekarang GPS berdiri diatas kaki sendiri dan semua program pembangunan 100 peratus dibiayai kerajaan negeri.

“Awalnya ramai orang bertanya apakah kesudahan Sarawak nanti setelah meninggalkan gabungan BN.

“Sekarang setelah tiga tahun, mereka melihat bagaimana kita membangunkan Sarawak tanpa bantuan dari kerajaan pusat.

“Kita bina jalanraya dan jambatan selain menyediakan kemudahan bekalan air serta eletrik dan semua ini memerlukan berbilion ringgit,” tegas beliau.

Mengulas berhubung senario politik negara pada masa kini, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata keadaannya sangat kucar-kacir.

Menurut beliau, pada masa kini ada dua kumpulan yang berebut-rebut hendak menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia ke-8.

“Sepanjang tempoh Pakatan Harapan (PH) memerintah Malaysia, kita menghadapi keadaan politik yang tidak sehaluan, kucar-kacir di seluruh negara.

“Sehingga kini keadaan ini masih berlaku dan GPS dikaitkan dengan kedua-dua kumpulan tersebut,” ujar beliau.

Turut hadir Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Dr Stephen Rundi dan pemimpin-pemimpin kanan parti yang lain. — DayakDaily