Abang Johari: Perkhidmatan feri berakhir pada 2025

Abang Johari (dua dari kanan) mendengar taklimat oleh Dr Sim (kiri) berhubung projek. Turut kelihatan Jaul (kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 5 Jan: Perkhidmatan feri di seluruh negeri tidak diperlukan lagi menjelang 2025, tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, projek pembinaan jambatan-jambatan yang bakal menggantikan perkhidmatan feri kini telah bermula termasuk Jambatan Batang Lupar.

“Kesemua projek jambatan ini telah bermula dengan peruntukan daripada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ini termasuk pembinaan Jambatan Paloh, Batang Lassa, Batang Igan, Krian, Saribas, Batang Lupar, Kemena, Rambungan dan jambatan kedua Sri Aman.


“Kesemuanya akan siap pada 2025,” katanya pada sidang media selesai Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat-Dewan Sukan dan Komuniti di Batu Kawah hari ini.

Berhubung Projek Jambatan Batang Lupar, Abang Johari berkata peruntukan sudah ada dan acara pecah tanah akan dilakukan dalam masa terdekat.

Jelas beliau lagi, pembinaan jambatan tersebut memerlukan tempoh empat tahun kerana ia merupakan jambatan terpanjang iaitu melebihi lima kilometer.

Abang Johari turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengenakan sebarang tol pada setiap jambatan.

Dewan Sukan dan Komuniti-Hub Inovatif di Batu Kawah (gambaran artis).

Terdahulu pada ucapannya, beliau berkata Projek Rakyat-Dewan Sukan dan Komuniti di Batu Kawah yang bernilai RM10 juta adalah merupakan satu projek yang kreatif.

Katanya, ia mentransformasikan bekas tapak kuari (Ang Cheng Ho) kepada hub inovasi.

Pada majlis itu, Abang Johari mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta untuk projek tersebut.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang. — DayakDaily