Oleh Chris Bishop
KAPIT, 4 Okt: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini melengkapkan Ekpedisi Bermotosikal Sibu ke Kapit sejauh 170 km.
Ekspedisi melibatkan perjalanan dari Sibu ke Kanowit sejauh 57.3km seterusnya ke Ngungun sejauh 37km.
Konvoi yang disertai lebih 100 buah motosikal berkuasa tinggi meneruskan perjalanan dari Ngungun ke Pekan Song sejauh 23km.
Setelah berehat di Pekan Song untuk makan tengahari, Abang Johari meneruskan perjalanan ke Kapit sejauh 51 Km.
Dalam pada itu, Abang Johari ketika ditemui di Majlis Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna di Nanga Ngungun, Kanowit berkata, ‘missing link’ di antara Ngemah dan Temalat yang merupakan sebahagian daripada pembinaan Jalan Kapit ke Sibu akan dibuka kepada pengguna jalan raya mengikut masa ditetapkan sebelum projek tersebut siap sepenuhnya.
Katanya, pihak berkaitan telah diarahkan untuk membuka laluan berkenaan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Saya datang sini hendak lihat dengan mata saya sendiri selepas pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu.
“Kita akan buka laluan ini pada masa orang turun kerja pada waktu pagi dan masa-masa tertentu selepas itu, jadi saya mohon kerjasama semua.
“Paling utama kita perlu mengazetkan laluan ini selepas ia siap sepenuhnya kelak. Ini kerana sekiranya berlaku kemalangan ia akan membawa masalah jika jalan itu belum digazetkan,” kata Abang Johari. — DayakDaily