Oleh Chris Bishop
GEDONG, 10 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan pembinaan trek sukan permotoran di Gedong.
Katanya, trek tersebut bakal melengkapkan projek Pembangunan Isthmus Gedong yang dilancarkan pada tahun lepas.
“Trek pemotoran di Isthmus di Gedong kita bina sahaja, kerana Isthmus baru dibangunkan dan kita juga bina stadium.
“Mungkin stadium boleh dilengkapkan dengan trek motor.
“Tiada masalah. Mereka yang dari Kuching bolehlah datang ke Gedong untuk sukan permotoran,” katanya.
Abang Johari berkata demikian di Perhimpun Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong hari ini.
Terdahulu Ketua Pemuda PBB Miro Simuh dalam ucapan aluannya menyampai hasrat pergerakan yang memohon agar trek permotoran dibina di Gedong.
Sementara itu, Abang Johari juga memaklumkan bahawa trek permotoran juga akan dibina di kawasan utara Sarawak.
Menurut beliau, ada juga permohonan daripada MP Sibuti supaya trek permotoran dibina di Niah.
“Memandangkan Niah sudah diwartakan sebagai kawasan UNESCO, maka kita akan cari kawasan lain di utara,” ujarnya.
Projek pembangunan Isthmus Gedong merupakan replika kepada Isthmus Kuching akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.
Ia dilengkapi dengan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik selain pejabat-pejabat pentadbiran. ā DayakDaily