Abang Johari: Lebuh Raya Kedua hidupkan suasana ekonomi Sri Aman

Taib (lapan dari kanan) merakamkan kenangan bersama Abang Johari (enam dari kiri) dan tetamu hormat yang lain pada Malam Mesra Mesra Ambang Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2020.

Oleh Chris Bishop

SIMANGGANG, 30 Ogos: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin Lebuh Raya Kedua akan memberi suntikan untuk menghidupkan suasana ekonomi yang lebih mampan bagi kawasan Sri Aman.

Katanya, jaringan jalan raya yang melewati Sri Aman melalui Sebuyau dan Lingga dan terus ke Roban itu akan membuka kawasan Sri Aman kepada aktiviti pertanian dan pelancongan secara lebih intensif lagi.


“Usaha-usaha untuk memajukan kawasan Sri Aman nanti akan digemblengkan melalui sebuah perancangan induk yang dipanggil Kawasan Pembangunan Sri Aman atau Sada.

“Sada akan melihat keseluruhannya bagaimana Sri Aman boleh diangkat dari segi pembangunan ekonominya.

“Kawasan ini berpotensi dari segi pertanian seperti tanaman padi dan nenas khususnya untuk tujuan eksport,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Malam Mesra Ambang Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2020 di sini, malam ini.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib menjadi tetamu kehormat pada majlis yang dihadiri seramai 250 orang jemputan dalam mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP).

Tambah Abang Johari, kerajaan Gabungan Parti Sarawak memperuntukan RM700 juta kepada sektor pertanian tahun ini untuk memperkasakan bidang pertanian di Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri sudah mempunyai pejabat perdagangan di Singapura untuk mempromosi dan menyelaraskan kegiatan perdagangan dengan Singapura.

“Pejabat perdagangan juga akan dibuka di Pontianak di Kalimantan dan di Brunei untuk tujuan sama, iaitu membuka pasaran bagi bahan-bahan makanan dari Sarawak.

“Sarawak sekarang mengeksport ikan tilapia dari Lubok Antu, khinzir, telur ayam, terung dayak dan lain-lain ke Singapura.

“Banyak lagi bahan makanan yang boleh dieksport ke Singapura seperti terung dayak, asalkan kualiti makanan Singapura yang tinggi mampu kita penuhi,” ujar Abang Johari.

Taib(tiga dari kanan) menerima cenderahati daripada Jaul sambil diperhatikan Abang Johari(dua dari kiri).

Dari segi sektor pelancongan pula beliau yakin kawasan Sri Aman ada potensi yang baik.

Menurut beliau tempat-tempat seperti empangan Batang Ai, pelancongan, budaya dan alam sekitar bagi kawasan seperti Skrang dan Batang Lemanak, kehidupan orangutan di Taman Negara Batang Ai, Benak Batang Lupar, kehidupan liar di kawasan paya tanah gambut seperti Taman Negara Maludam boleh dikembangkan.

Turut hadir isteri ketua menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, Menteri Pelancongan, Seni, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion. — DayakDaily