KUCHING, 14 Feb: Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengetuai 82 ADUN Sarawak mengangkat sumpah di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kesemua ADUN Sarawak ini mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dalam Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ke-19.
Pada Persidangan DUN ini, pindaan perlembagaan bagi menamakan jawatan Ketua Menteri Sarawak sebagai ‘Premier’ akan dicadangkan.
Menurut salinan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang dikongsikan, RUU itu melibatkan pindaan Perkara 9(3) Perlembagaan antara lain menggantikan perkataan ‘Ketua Menteri’ dengan perkataan ‘Premier’.
Turut dicadangkan ialah pindaan Perkara 44 Perlembagaan Negeri mengenai tafsiran ‘Premier’ merujuk atau bermakna Ketua Menteri yang dilantik di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan dan sebarang rujukan kepada Ketua Menteri dalam mana-mana undang-undang bertulis hendaklah selepas itu merujuk kepada ‘Premier’.
RUU itu juga mencadangkan pindaan ke atas Perkara 7A Perlembagaan Negeri bagi mengubah pelantikan ‘Menteri Muda’ kepada ‘Timbalan Menteri’.
Jika diluluskan oleh DUN, 26 Menteri Muda ketika ini akan menjadi Timbalan Menteri.
Persidangan kali ini juga menyaksikan 18 wakil rakyat baharu akan membuat penampilan pertama dalam Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ke-19.
Persidangan ini juga menyaksikan ketua pembangkang diketuai ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh.
Sementara itu, ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan.
Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ke-19 ini merupakan yang pertama diadakan selepas Pilihan Raya Negeri Negeri Ke-12 (PRN12) dan diadakan selama tiga hari bermula Isnin, 14 hingga 16 Februari 2022.
Pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ke-19 ini juga menyaksikan tiada soalan termasuk penggulungan menteri bagi memenuhi Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak. — DayakDaily